Tuesday, August 31, 2010

Adakah Sains Bebas Nilai?

Sejarah yang benar ialah ilmu. Sejarah perlu diambil iktibar. Merenungi sejarah silam bukanlah bererti mundur ke belakang tetapi sejarah memberikan lompatan kuantum yang sangat berkesan untuk meneruskan perjalanan. Sejarah ibarat momentum seperti pelompat jauh undur ke belakang mengambil lajak untuk melompat dengan penuh kesungguhan ke hadapan.



Pemikiran sains bertukar tangan daripada Yunani kepada Islam, Islam kepada Eropah, dan kini sains lebih bersifat sejagat, bebas budaya, dan bebas nilai. Namun sebelum zaman postifisme yang menafikan seluruh sistem nilai dalam pemikiran sains, kita perhatikan setiap tamadun berkembang di atas paksi dan paradigma tersendiri. Sains tamadun Islam berkembang di atas paksi Tauhid. Paksi ini telah lebur dalam perjalanan pemikirannya ke Eropah lalu terhasillah sains moden yang bebas budaya, bebas metafizik.



Isu mutakhir yang menarik dalam pemikiran sains lewat kurun ke-20 tentang sains Islam ialah persoalan pengislaman sains. Tokoh utama yang membahaskan persoalan ini termasuklah Ismail Faruqi,[11] Syed Hosein Nasr,[12] Syed Naguib al-Attas,[13] Ziauddin Sardar,[14] Osman Bakar[15] dan angkatannya. Di samping itu, terdapat kecenderungan saintis Barat untuk mengkaji al-Qur’an dalam perspektif sains. Di antara saintis Barat yang begitu berminat dengan sains al-Qur’an termasuklah Maurice Bucaille, Keith Moore, Garry Miller[16] dan lain-lain.



Maurice Bucaile telah memeranjatkan saintis Eropah apabila beliau menulis bukunya dalam bahasa Perancis La Bible, le Coran et la Science yang diterjemah oleh beliau bersama Alastair Pannell ke bahasa Inggeris dengan tajuk The Bible, The Qur’an and Science. Beliau membandingkan fakta saintifik yang terdapat dalam al-Qur’an dan Bible. Beliau meneliti fakta saintifik yang sangat jitu dan tepat dalam al-Qur’an yang berkaitan dengan kosmologi, astronomi, zoologi, botani, geologi, dan embriologi. Sebahagian fakta saintifik tersebut hanya ditemukan dalam penyelidikan sains kurun ke-19 dan 20 sedangkan al-Qur’an diturunkan kepada rasul terakhir dalam rangkaian nabi, pada awal kurun ke-7.



Maurice Bucaille (lahir 1930) pakar bedah yang pernah menjawat ketua Klinik Pembedahan, Fakulti Perubatan Universiti Paris, mengajak saintis agar mengkaji al-Qur’an kerana kitab suci itu adalah sumber sains. Menurutnya:



“The Qur’an, most definitely did not contain a single proposition at variance with the most firmly established modern knowledge and that a large number of facts are mentioned in the Qur’an which were not discovered until modern times”.[17]



Bucaile membentangkan hasil penemuan beliau tentang embryologi yang terdapat dalam al-Qur’an dalam persidangan Akademi sains Perubatan Perancis 1976.



Keith More, professor Emeritus Jabatan Anatomi dan Biologi Sel, Universiti Toronto turut takjub dengan peringkat perkembangan embriologi yang diterangkan sangat terperinci dalam al-Qur’an. Beliau ialah penulis karya Clinical Oriented Anatomy dan The Developing Human, teks piawai dalam perubatan. Buku The Developing Human mempunyai gambar anatomi dan sistem pembiakan manusia yang terperinci dan digunakan di Kanada dan Amerika sebagai teks embriologi. Setelah mengkaji al-Qur’an, beliau menemui banyak lagi penemuan baru yang belum terdapat dalam karya tersebut lalu dalam edisi ke-5 karya tersebut beliau memasukkan fakta sains al-Qur’an beserta dengan ayat al-Qur’an sekali. Barangkali inilah teks sains moden yang pertama dipersembahkan dengan ayat al-Qur’an yang digunakan sebagai teks akademik.



Sebagai rakyat Kanada, Moore tidak mempunyai pengatahuan tentang kitab suci Muslim sehingga beliau mengkaji bidang embriologi. Menurut Moore:



“Although I was aware of the glorious history of Muslim scientists in the 10th Century AD, and some of their contributions to medicine, I know nothing about facts and beliefs contained in the Qur’an and Sunnah. It has been a great pleasure for me to help clarify statements in the Qur’an about human development. It is clear to me that these statements must have come to Muhammad from God, because most of this knowledge was not discovered until many centuries later. This proves to me that Muhammad must have been a messenger of God”.[18]



Angkatan pengislaman sains yang dikemukakan oleh Sayyed Hossein Nasr dan kumpulannya bertujuan melihat sains sebagai satu disiplin yang berakar umbi dalam tamadun Islam yang mempunyai latar belakang sejarah, falsafah dan pemikiran. Walaupun ada kritikan yang dilakukan terhadap pengislaman sains oleh penulis seperti Sardar, Abdus Salam,[19] dan Hoodbhoy yang menganggap bahawa sains adalah neutral kerana dipengaruhi pemikiran positifisme Barat, tetapi golongan ini tidak mendapat tempat dalam aliran perdana.



Apakah rasional pengislaman sains? Sejarah perkembangan sains telah merakamkan dengan jelas bahawa sains dipengaruhi paradigma. Sains yang berkembang dalam tamadun Islam, berkembang di atas paradigma Tauhid. Matlamatnya untuk melahirkan saintis bertakwa. Sains Islam berbeza daripada sains Yunani sebab Yunani membina sains di atas falsafah metafizik mereka. Ayat al-Qur’an dan hadith telah menjadi pendorong kajian sains tamadun Islam. Kajian dilakukan dengan nama Tuhan. Aktiviti sains adalah ibadat. Kelahiran optik ada hubungannya dengan ayat al-Qur’an tentang cahaya. Aljabar diasas berkaitan dengan ayat fara’id.[20] Trigonometri lahir kerana hubungan dengan ibadat haji, puasa dan solat. Geologi dan arkeologi dikaji kerana ada hubungan dengan kajian tentang sejarah Fir’aun, Zul-Qarnain[21] dan Ashab al-Kahfi.[22] Kartografi atlas di atas glob digunakan dalam pelayaran dan pengiraan arah kiblat. Kesemua ilmu tersebut terasas dalam tamadun Islam berkait rapat dengan al-Qur’an.



Apabila sains Islam berkembang ke Eropah, mereka tidak menerima sepenuhnya sains Muslim. Kumpulan skolastikisme gereja menapis kandungan aljabar Islam. Mereka membuang unsur faraid dan mengambil persamaan kuadratik.[23] Barat menapis trigonometri Islam lalu membuang bab penentuan arah kiblat dan pengiraan takwim sembahyang tetapi mereka mengambil bab sinus, kosinus dan tangen sahaja. Optik Islam dipadamkan tentang konsep cahaya sebagai hidayah tetapi mereka menerima konsep kamera dan kanta teleskop Ibn al-Haitham. Ini bermakna mereka menukar sistem nilai Islam kepada nilai baru Kristian ke dalam sains warisan tersebut. Sains lalu ditafsir mengikut kefahaman gereja, lalu timbullah konflik gereja bersama saintis.



Rentetan sejarah di atas dengan jelas merakamkan betapa sistem nilai telah berperanan mewarnai wajah sains.



Dalam perkembangan aliran pemikiran sains moden lahirlah pelbagai fahaman seperti logikisme, realisme, posifisme, aruhanisme, pemalsuanisme dan seumpamanya yang kebanyakannya bercanggah dengan sistem nilai Islam. Adalah mustahak apabila sains diterima kembali sebagai satu unsur pembangunan berteraskan sains dan teknologi, maka fahaman tersebut haruslah ditapis kembali supaya selari dengan sistem nilai tempatan. Matlamat sains yang murni bukan untuk tujuan kemusnahan, peperangan, eksploitasi alam, dan kegawatan masyarakat tetapi sains yang murni harus memenuhi kriterium etika dan akhlak sains yang mulia dan sejagat. Di atas landasan ini, maka slogan pengislaman sains bermula pada lewat kurun yang lepas.



Pengaruh evolusinisme yang menafikan ketuhanan bukan hanya menjadi landasan biologi Barat yang diimpot ke negara bekas jajahan mereka, namun teori yang sama telah tersebar dalam bidang antropologi, sains sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan seumpamanya. Fahaman ini berakar umbi dalam sistem pendidikan negara jajahan dan sudah menjadi satu doktrin dalam pengajaran sekolah dan kolej. Walaupun guru dan pensyarah yang terlibat adalah orang beragama, tetapi apabila mereka memberi kuliah, fahaman tersebut dianuti dalam masa selang waktu kuliah bersama pelajarnya sebab kebanyakan teks menjadikan evolusinisme sebagai premis asas. Setiap teori biologi bermula dengan fahaman tersebut. Apabila balik ke rumah, mereka kembali menjadi orang beragama. Fahaman sekularisme sedemikian menjadi foneomenon yang lumrah dalam kebanyakan negara umat Islam yang pernah terjajah.



Dalam antropologi, manusia diajar di sekolah, bermula dengan zaman primitif dari segi pemikiran, tamadun, wajah dan rupa, penguasaan ilmu yang berupa bahasa atau pengiraan dan seumpamanya. Manusia digambarkan bermula dengan etika dan kelakuan yang kasar dan primitif semata-mata untuk membenarkan teori evolusi yang menunjukkan manusia dari spesies yang rendah beransur-ansur menjadi spesies yang maju.



Lakaran gambaran pendokong evolusinisme tersebut bercanggah sama sekali dengan wahyu Ilahi yang disampaikan kepada para rasul agama langit yang asal seperti Nasrani, Yahudi dan Islam. Dalam Islam, manusia pertama Adam as adalah orang pertama diberi ilmu pengetahuan yang lengkap dari segi bahasa, pengiraan, kemahiran dan semua ilmu berkaitan dengan iman dan keduniaan. Anakandanya pula Shith as menjadi pelopor kepada ilmu perubatan, astronomi dan lain-lain yang diwariskan kemudiannya kepada ilmuwan Mesir, Yunani dan Babylon. Dari segi bahasa, Adam as dianugerah dengan bahasa yang pelbagai dan sempurna yang kemudiannya tersebar luas di kalangan zuriatnya di seluruh pelusuk dunia. Itulah sebab seluruh bahasa di dunia mempunyai susur galur yang sama. Ahli bahasa menelusuri keluarga bahasa dunia dan mendapati permulaannya menumpu ke satu pohon yang besar. Hingga kini ahli bahasa dan filologi tidak dapat memberi alasan tentang susur galur yang sama itu, sebab mereka menganggap manusia primitif zaman batu tiada perhubungan yang mengikat persaman bahasa mereka.



Dengan ini, apakah sains yang dibina di atas paradigma liberalisme-positifisme-sekularisme sesuai dengan kurikulum sains Islam yang berteraskan wahyu.

                                                                                                      By: Dr. Mat Rofa Ismail, UPM

1 comment:

  1. Dr Mat Rofa,pensyarah jbtan math kt upm..
    prgrm@pengisiannya sgt best..

    nice.

    ReplyDelete