Saturday, October 30, 2010

Keajaiban akal fikiran



SATU unsur sangat menonjol pada penciptaan manusia ialah akal fikiran yang menjadikan insan makhluk istimewa berbanding yang lain sehingga layak menggalas amanah sebagai khalifah di bumi.
Islam memandang tinggi akal fikiran kerana ia sumber segala ilmu malah banyak disebut dalam al-Quran.
“Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah- belah kerana takut kepada Allah. Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.” (a-Hasyr:21)
Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”
Dalam satu kisah, Abu Said al-Khudri menyampaikan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berilah hak matamu di bidang ibadat!”
Sahabat bertanya: “Apakah hak mata di bidang ibadat itu wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Membaca al-Quran, memikirkan isinya dan mengambil pengajaran keajaiban kandungannya.”
Wahab bin Munabih pula berkata: “Semakin tajam seseorang itu berfikir, semakin berilmulah dia dan apabila dia berilmu, semakin banyaklah amalnya.” 
Al-Ghazali berkata, akal itu mulia dan menjadikan manusia mulia. Melalui akal, manusia mendapat ilmu.
Ibn Khaldun bersetuju akal fikiran (quwwah natiqah) membezakan antara manusia dengan makhluk lain.
Menurut Aristotle, jiwa manusia adalah hakikat diri manusia dan potensi berfikir adalah sebahagian darinya, sementara orang bijak pandai berkata ‘berfikir itu pelita hati.’
Hasan al-Basri r.h berkata: “Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka sentiasa mengulangi apa yang mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat berbicara dengan kata-kata hikmah.”
Lukman al-Hakim berkata: “Sesungguhnya dengan lamanya duduk, aku akan lebih memahami untuk berfikir dan panjang berfikir, petunjuk jalan ke syurga.”
Imam al-Ghazali menyifatkan akal fikiran sebagai sumber, tempat terbit dan asas ilmu. Ilmu pula apabila dinisbahkan kepada akal ibarat buah kepada pokok, cahaya kepada matahari, pandangan kepada mata.
Beliau memberikan empat kategori mengenai akal:
i. Akal merujuk kepada suatu sifat yang membezakan manusia dari sekalian haiwan. Akal dalam erti kata ini adalah sifat semula jadi manusia. 
ii. Akal merujuk kepada ilmu daruri, terhasil apabila seorang mencapai usia 
tamyiz. Ilmu daruri ialah ilmu membolehkan dikenali perkara wajib, mustahil dan harus pada akal. Contohnya, mustahil seorang manusia di dua tempat pada satu masa. 
iii. Akal merujuk kepada ilmu pengetahuan diperoleh melalui uji kaji dan pengalaman hidup. 
iv. Akal merujuk kepada kesempurnaan sifat akal, apabila ia mengetahui akibat setiap perkara dan mengekang syahwat dari menurut kelazatan sementara. 
Apabila keadaan ini terhasil pada diri seseorang, dia dipanggil ‘manusia berakal’ kerana yang memandu tindakannya ialah kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatannya, bukan dorongan hawa nafsu. 
Merujuk kepada kategori ketiga, iaitu ilmu yang dipelajari dari pengalaman, perbezaan antara manusia berpunca daripada kemampuan asli akal itu sendiri dan pengalaman dilalui. 
Bagi kategori keempat, perbezaan manusia kerana berbeza kemampuan mengekang nafsu. Manusia memiliki keupayaan berbeza dalam hal ini, bahkan seseorang mungkin berupaya mengekang nafsu dalam perkara tertentu dan tidak dalam hal lain. 
Faktor yang boleh dikaitkan dengan akal fikiran dalam perbezaan ini ialah ilmu yang menyedarkan seseorang mengenai kemudaratan, akibat hawa nafsu. Seorang yang berilmu lebih mampu menjauhi maksiat berbanding si jahil kerana lebih tahu kemudaratannya.
Akal fikiran membolehkan manusia menilai baik dan buruk, mampu membezakan di antara yang benar dan palsu, bersih dan kotor, untung atau rugi, malah memandu untuk mengenal diri dan Penciptanya.
Penggunaan daya fikir yang tinggi dan lebih serius membolehkan manusia mencapai ketamadunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan. 
Umat Islam satu ketika mampu meraih kegemilangan apabila menggunakan kemampuan daya fikir yang tinggi, sebagaimana ditonjolkan tokoh Muslim seperti Jabir bin Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Farabi dan banyak lagi.
Al-Kindi (801-873) misalnya, cukup terkenal di Barat dengan nama Alkindus, seorang cerdik pandai Arab dalam pelbagai bidang, terutama sains, astrologi, kosmologi, logik, matematik, muzik, fizik, psikologi dan meteorologi. 
Kisah seorang Barat, Isaac Newton (1643-1927), iaitu seorang ahli fizik, matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga diambil pengajaran. 
Sejak lahir beliau tidak pernah melihat bapanya bekerja sebagai petani, kerana beberapa bulan sebelum lahir bapanya meninggal. Kehidupan beliau sangat susah, namun masih berpeluang mendapat ijazah sarjana muda pada usia 22 tahun.
Pada suatu malam, beliau berjalan-jalan di sekitar kebun sambil berfikir dan memerhatikan keadaan sekeliling. Tanpa sedar, fikirannya berakhir pada satu persoalan; mengapa bulan bergerak mengelilingi bumi? 
Selepas letih berjalan dan tidak mendapat jawapan, beliau berehat di bawah pohon epal. Tiba-tiba buah epal jatuh berdekatannya. 
Kejadian itu menimbulkan persoalan di dalam benaknya. Mengapa buah itu harus jatuh tepat di bawahnya dan tidak ke sekitarnya atau ke atas? 
Beliau berfikir lagi hingga menemui satu kesimpulan, iaitu buah epal jatuh ke bawah kerana adanya tarikan dari bumi dan daya seperti itu dinamakan daya graviti. Ia bukan saja berlaku pada bumi, malah planet lain termasuk bulan, bintang dan matahari mempunyai daya gravitinya.
Demikianlah dengan kemampuan dan kehebatan akal fikiran. Bahkan, dengan fikiran yang sihat dapat memupuk keimanan kepada Allah serta menolak perkara bersifat tahyul dan khurafat.

taken from.. 
http://aferiza.wordpress.com/2009/05/05/keajaiban-akal-fikiran/

Tuesday, October 5, 2010

Riak...tanda-tanda....adik-bradik riak...cara mengatasi RIAK...

Riak. Riak ikan dia air. Benda yang biasalah kita dengar hari2 kan. Apa maksud riak ni sebenarnya?
Maksud riak biasanya dikaitkan dengan perbuatan menunjuk2 di depan orang. Biasa kita dengar, atau kita sendiri kata benda macam ni:
“Aku bukan nak riak..”
“Takmau la buat ni, takut riak pulak”
“Tengok tu, menunjuk2. Riak!”
Riak dari segi bahasa maksudnya memperlihatkan, manakala dari segi istilah ialah melakukan sesuatu bukan kerana Allah. Riak ini adalah sesuatu yang bahaya, maksudnya amatlah kronik sehinggakan ia menjadi kebimbangan Rasulullah SAW, di dalam hadis yang marhumnya,
“Yang paling takuti aku atas kalian adalah syirik kecil” Para sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu?” Baginda menjawab, “Riak” (HR Ahmad).
Syirik maknanya mensekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.
Riak menjadi syirik kecil apabila kita menyekutukan Allah dengan makhluk-Nya, iaitu manusia lain.
Riak adalah sifat yang berlawanan dengan ikhlas. Bila ikhlas bermaksud kita melakukan sesuatu kerana Allah, maka riak bermaksud sebaliknya iaitu melakukan sesuatu bukan kerana-Nya.
Contoh perbuatan riak ialah:
1. Solat dengan begitu kusyuk sekali supaya orang yang melihat akan berasa “Wow, kusyuknya dia ni solat, mesti alim ni”
2. Bersedekah dengan banyak supaya orang kata “Wow, pemurahnya dia!”
3. Mengaji dengan suara merdu dan tajwid yang betul supaya orang kata“Wow, hebatnya dia mengaji!”
Amat sukar nak ikhlas kan?
Namun, terdapat beberapa perbuatan yang kita tak sedar, ia adalah riak sebenarnya. Contohnya…
1. Kita tidak mahu menderma di depan orang kerana TAKUT ORANG KATA kita nak menunjuk2.
2. Kita sering solat sunat (dhuha misalnya) tapi satu hari kawan kita datang dan kita tinggalkan solat sebab TAKUT KAWAN KATA kita alim sangat.
3. Kita nak cerita kebaikan kita tapi ayatnya “AKU BUKAN NAK RIAK” supaya ORANG yang dengar INGAT yang kita ni memang baik.
Perbuatan di atas tu, boleh jadi tidak riak, bila kita ikhlas. Ikhlas adalah bila…




1. Kita tidak mahu menderma di depan orang kerana TAKUT ALLAH MARAH bila kita merasa ujub bila derma lebih dari orang lain.
2. Kita sering solat sunat (shuha misalnya) tapi satu hari kawan kita datang dan kita tinggalkan solat sebab ALLAH KATA wajib muliakan tetamu, solat dhuha tusunat je.
3. Kita cerita je lah dengan niat semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan yang mendengarnya. Baik ke buruk semua pembalasan dari Allah.
Riak ni sangat tersembunyi. Sebab ia kan satu spesis dengan ikhlas, cuma berlainan arah. Ikhlas adalah perbuatan yang sulit (waduh, kok cakap Indon) untuk dilihat dengan mata kasar, sukar untuk dikesan. Begitu juga dengan riak. Kerana ia melibatkan hati. Kita mana boleh nak tahu hati sesiapa, sedangkan Nabi pun tak tahu. Dalam hati sendiri pun sukar nak dikesan “Aku ni ikhlas ke riak?”
Riak juga boleh jadi bila kita melakukan ibadat kerana sesuatu, contohnya kerana nak lulus periksa, maka solatlah kita awal waktu, siap solat sunat, solat hajat, puasa bagai. Sekali periksa tak berapa nak lulus, terus bungkus semua tu. Siap marah2 Tuhan lagi “Aku semayang hajat semua pun Kau tak beri lulus? Ini tidak adil! Malas semayang!”.  Ataupun,periksa dah lulus, so buat apa nak lakukan semua tu lagi kan? Salah ni dik, amal ibadah kita kena ikhlas, bukan sebab nakkan sesuatu. Memangla kita kena ada extra effort kalau mahu something, tapi dia kena ada follow up. Kalau tak dapat, usaha lagi, atau bertaubat, mungkin kafarah dosa. Kalau dapat, bersyukur dan buat la jugak semoga nanti dapat lagi banyak.
Bagi orang kebanyakan seperti saya, riak ni kadangkala disalah faham dengan ujub. Maksud ujub ialah merasakan dirinya lebih dari orang lain. Lebih alim, lebih kaya, lebih pandai, lebih segala-mala la. Dia adik beradik dengan riak, tapi ujub tak semestinya riak, dan riak tak semestinya ujub. Tapi biasanya kalau dah ujub tu mestilah ada riak jugak. Kalau rasa diri alim, mesti la nak tunjuk kealiman kan. Orang mesti pandang aku… paling kuat ibadat, paling pandai mengaji, paling berilmu….
Satu lagi sifat yang ada kaitan dengan riak ialah sum’ah. Sum’ah ialah memperkatakan tentang amal baiknya. Berbeza dengan riak yang meperlihatkan, sum’ah ialah memperdengarkan.
Takbur pula ialah membesar-besarkan diri. Dia jelah yang hebat. Dia jelah yang best. Dia jelah yang ada blog. Eh?
Apa-apa pun semua sifat2 di atas mestilah diperangi, terutama sifat riak, kerana ia adalah sesuatu yang serious. Di akhirat kelak, Allah tidak sudi memandang ibadah mereka yang ada riak, sebaliknya disuruh minta pahala daripada orang-orang yang diriakkan tu. Alangkah ruginya kan? Susah payah solat, sekali Allah tak sudi terima T_T disebabkan kita solat tu sebab nak suruh orang tengok kita macam bagooos.
Susah nak buat kan? Ye lah bukannya kita nampak Allah, dan Dia tu takde nak bercakap2 dengan kita secara direct. Kalau manusia ni, kejap je dapat pujian “Wah baiknya budak ni!”, “Dia ni alim ni” dan kita pun tersenyum2 puas.
Riak adalah sejenis penyakit. Jadi adalah ubatnya.  APakah ubat riak?
  1. Melakukan sesuatu amal kebaikan kerana suruhan Allah. Bukan kerana pahala, atau pembalasan, atau nak periksa, atau pujian orang atau apa2. Dah Tuhan suruh tu buat aje lah.
  2. Selalu muhasabah diri.. adakah aku ikhlas? Atau nak tunjuk kat orang je?
  3. Selalu berdoa semoga Allah tetapkan iman dan jauhi dari sifat2 riak.
  4. Banyakkan ibadah sunat yang jauh dari pandangan orang.
  5. Sentiasa bertaubat, beristighfar dan menangisi dosa2.
  6. Tanamkan rasa cinta kepada Allah dan takut kepada azab seksa-Nya.
Hmm.. berhati2 lah bila kita nak cakap “Aku bukan nak riak” atau “Aku takut riak” adakah kita cakap tu atas dasar riak (sebab nak orang nampak kita baik), atau memang benar2 ikhlas kerana Allah Taala?
source;- mysuperkids.net

Friday, September 3, 2010


SELAMAT HARI RAYA DIUCAPKAN KEPADA SEMUA

kpd mane2 student tuu....raye 2 hari je,,pas raye ciapkn assgnment n STUDY (pesan dr. wan md Zain)..hoho...


n kpd budak2 kecikk.......kreatifkan permainn anda....

Tuesday, August 31, 2010

Adakah Sains Bebas Nilai?

Sejarah yang benar ialah ilmu. Sejarah perlu diambil iktibar. Merenungi sejarah silam bukanlah bererti mundur ke belakang tetapi sejarah memberikan lompatan kuantum yang sangat berkesan untuk meneruskan perjalanan. Sejarah ibarat momentum seperti pelompat jauh undur ke belakang mengambil lajak untuk melompat dengan penuh kesungguhan ke hadapan.



Pemikiran sains bertukar tangan daripada Yunani kepada Islam, Islam kepada Eropah, dan kini sains lebih bersifat sejagat, bebas budaya, dan bebas nilai. Namun sebelum zaman postifisme yang menafikan seluruh sistem nilai dalam pemikiran sains, kita perhatikan setiap tamadun berkembang di atas paksi dan paradigma tersendiri. Sains tamadun Islam berkembang di atas paksi Tauhid. Paksi ini telah lebur dalam perjalanan pemikirannya ke Eropah lalu terhasillah sains moden yang bebas budaya, bebas metafizik.



Isu mutakhir yang menarik dalam pemikiran sains lewat kurun ke-20 tentang sains Islam ialah persoalan pengislaman sains. Tokoh utama yang membahaskan persoalan ini termasuklah Ismail Faruqi,[11] Syed Hosein Nasr,[12] Syed Naguib al-Attas,[13] Ziauddin Sardar,[14] Osman Bakar[15] dan angkatannya. Di samping itu, terdapat kecenderungan saintis Barat untuk mengkaji al-Qur’an dalam perspektif sains. Di antara saintis Barat yang begitu berminat dengan sains al-Qur’an termasuklah Maurice Bucaille, Keith Moore, Garry Miller[16] dan lain-lain.



Maurice Bucaile telah memeranjatkan saintis Eropah apabila beliau menulis bukunya dalam bahasa Perancis La Bible, le Coran et la Science yang diterjemah oleh beliau bersama Alastair Pannell ke bahasa Inggeris dengan tajuk The Bible, The Qur’an and Science. Beliau membandingkan fakta saintifik yang terdapat dalam al-Qur’an dan Bible. Beliau meneliti fakta saintifik yang sangat jitu dan tepat dalam al-Qur’an yang berkaitan dengan kosmologi, astronomi, zoologi, botani, geologi, dan embriologi. Sebahagian fakta saintifik tersebut hanya ditemukan dalam penyelidikan sains kurun ke-19 dan 20 sedangkan al-Qur’an diturunkan kepada rasul terakhir dalam rangkaian nabi, pada awal kurun ke-7.



Maurice Bucaille (lahir 1930) pakar bedah yang pernah menjawat ketua Klinik Pembedahan, Fakulti Perubatan Universiti Paris, mengajak saintis agar mengkaji al-Qur’an kerana kitab suci itu adalah sumber sains. Menurutnya:



“The Qur’an, most definitely did not contain a single proposition at variance with the most firmly established modern knowledge and that a large number of facts are mentioned in the Qur’an which were not discovered until modern times”.[17]



Bucaile membentangkan hasil penemuan beliau tentang embryologi yang terdapat dalam al-Qur’an dalam persidangan Akademi sains Perubatan Perancis 1976.



Keith More, professor Emeritus Jabatan Anatomi dan Biologi Sel, Universiti Toronto turut takjub dengan peringkat perkembangan embriologi yang diterangkan sangat terperinci dalam al-Qur’an. Beliau ialah penulis karya Clinical Oriented Anatomy dan The Developing Human, teks piawai dalam perubatan. Buku The Developing Human mempunyai gambar anatomi dan sistem pembiakan manusia yang terperinci dan digunakan di Kanada dan Amerika sebagai teks embriologi. Setelah mengkaji al-Qur’an, beliau menemui banyak lagi penemuan baru yang belum terdapat dalam karya tersebut lalu dalam edisi ke-5 karya tersebut beliau memasukkan fakta sains al-Qur’an beserta dengan ayat al-Qur’an sekali. Barangkali inilah teks sains moden yang pertama dipersembahkan dengan ayat al-Qur’an yang digunakan sebagai teks akademik.



Sebagai rakyat Kanada, Moore tidak mempunyai pengatahuan tentang kitab suci Muslim sehingga beliau mengkaji bidang embriologi. Menurut Moore:



“Although I was aware of the glorious history of Muslim scientists in the 10th Century AD, and some of their contributions to medicine, I know nothing about facts and beliefs contained in the Qur’an and Sunnah. It has been a great pleasure for me to help clarify statements in the Qur’an about human development. It is clear to me that these statements must have come to Muhammad from God, because most of this knowledge was not discovered until many centuries later. This proves to me that Muhammad must have been a messenger of God”.[18]



Angkatan pengislaman sains yang dikemukakan oleh Sayyed Hossein Nasr dan kumpulannya bertujuan melihat sains sebagai satu disiplin yang berakar umbi dalam tamadun Islam yang mempunyai latar belakang sejarah, falsafah dan pemikiran. Walaupun ada kritikan yang dilakukan terhadap pengislaman sains oleh penulis seperti Sardar, Abdus Salam,[19] dan Hoodbhoy yang menganggap bahawa sains adalah neutral kerana dipengaruhi pemikiran positifisme Barat, tetapi golongan ini tidak mendapat tempat dalam aliran perdana.



Apakah rasional pengislaman sains? Sejarah perkembangan sains telah merakamkan dengan jelas bahawa sains dipengaruhi paradigma. Sains yang berkembang dalam tamadun Islam, berkembang di atas paradigma Tauhid. Matlamatnya untuk melahirkan saintis bertakwa. Sains Islam berbeza daripada sains Yunani sebab Yunani membina sains di atas falsafah metafizik mereka. Ayat al-Qur’an dan hadith telah menjadi pendorong kajian sains tamadun Islam. Kajian dilakukan dengan nama Tuhan. Aktiviti sains adalah ibadat. Kelahiran optik ada hubungannya dengan ayat al-Qur’an tentang cahaya. Aljabar diasas berkaitan dengan ayat fara’id.[20] Trigonometri lahir kerana hubungan dengan ibadat haji, puasa dan solat. Geologi dan arkeologi dikaji kerana ada hubungan dengan kajian tentang sejarah Fir’aun, Zul-Qarnain[21] dan Ashab al-Kahfi.[22] Kartografi atlas di atas glob digunakan dalam pelayaran dan pengiraan arah kiblat. Kesemua ilmu tersebut terasas dalam tamadun Islam berkait rapat dengan al-Qur’an.



Apabila sains Islam berkembang ke Eropah, mereka tidak menerima sepenuhnya sains Muslim. Kumpulan skolastikisme gereja menapis kandungan aljabar Islam. Mereka membuang unsur faraid dan mengambil persamaan kuadratik.[23] Barat menapis trigonometri Islam lalu membuang bab penentuan arah kiblat dan pengiraan takwim sembahyang tetapi mereka mengambil bab sinus, kosinus dan tangen sahaja. Optik Islam dipadamkan tentang konsep cahaya sebagai hidayah tetapi mereka menerima konsep kamera dan kanta teleskop Ibn al-Haitham. Ini bermakna mereka menukar sistem nilai Islam kepada nilai baru Kristian ke dalam sains warisan tersebut. Sains lalu ditafsir mengikut kefahaman gereja, lalu timbullah konflik gereja bersama saintis.



Rentetan sejarah di atas dengan jelas merakamkan betapa sistem nilai telah berperanan mewarnai wajah sains.



Dalam perkembangan aliran pemikiran sains moden lahirlah pelbagai fahaman seperti logikisme, realisme, posifisme, aruhanisme, pemalsuanisme dan seumpamanya yang kebanyakannya bercanggah dengan sistem nilai Islam. Adalah mustahak apabila sains diterima kembali sebagai satu unsur pembangunan berteraskan sains dan teknologi, maka fahaman tersebut haruslah ditapis kembali supaya selari dengan sistem nilai tempatan. Matlamat sains yang murni bukan untuk tujuan kemusnahan, peperangan, eksploitasi alam, dan kegawatan masyarakat tetapi sains yang murni harus memenuhi kriterium etika dan akhlak sains yang mulia dan sejagat. Di atas landasan ini, maka slogan pengislaman sains bermula pada lewat kurun yang lepas.



Pengaruh evolusinisme yang menafikan ketuhanan bukan hanya menjadi landasan biologi Barat yang diimpot ke negara bekas jajahan mereka, namun teori yang sama telah tersebar dalam bidang antropologi, sains sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan seumpamanya. Fahaman ini berakar umbi dalam sistem pendidikan negara jajahan dan sudah menjadi satu doktrin dalam pengajaran sekolah dan kolej. Walaupun guru dan pensyarah yang terlibat adalah orang beragama, tetapi apabila mereka memberi kuliah, fahaman tersebut dianuti dalam masa selang waktu kuliah bersama pelajarnya sebab kebanyakan teks menjadikan evolusinisme sebagai premis asas. Setiap teori biologi bermula dengan fahaman tersebut. Apabila balik ke rumah, mereka kembali menjadi orang beragama. Fahaman sekularisme sedemikian menjadi foneomenon yang lumrah dalam kebanyakan negara umat Islam yang pernah terjajah.



Dalam antropologi, manusia diajar di sekolah, bermula dengan zaman primitif dari segi pemikiran, tamadun, wajah dan rupa, penguasaan ilmu yang berupa bahasa atau pengiraan dan seumpamanya. Manusia digambarkan bermula dengan etika dan kelakuan yang kasar dan primitif semata-mata untuk membenarkan teori evolusi yang menunjukkan manusia dari spesies yang rendah beransur-ansur menjadi spesies yang maju.



Lakaran gambaran pendokong evolusinisme tersebut bercanggah sama sekali dengan wahyu Ilahi yang disampaikan kepada para rasul agama langit yang asal seperti Nasrani, Yahudi dan Islam. Dalam Islam, manusia pertama Adam as adalah orang pertama diberi ilmu pengetahuan yang lengkap dari segi bahasa, pengiraan, kemahiran dan semua ilmu berkaitan dengan iman dan keduniaan. Anakandanya pula Shith as menjadi pelopor kepada ilmu perubatan, astronomi dan lain-lain yang diwariskan kemudiannya kepada ilmuwan Mesir, Yunani dan Babylon. Dari segi bahasa, Adam as dianugerah dengan bahasa yang pelbagai dan sempurna yang kemudiannya tersebar luas di kalangan zuriatnya di seluruh pelusuk dunia. Itulah sebab seluruh bahasa di dunia mempunyai susur galur yang sama. Ahli bahasa menelusuri keluarga bahasa dunia dan mendapati permulaannya menumpu ke satu pohon yang besar. Hingga kini ahli bahasa dan filologi tidak dapat memberi alasan tentang susur galur yang sama itu, sebab mereka menganggap manusia primitif zaman batu tiada perhubungan yang mengikat persaman bahasa mereka.



Dengan ini, apakah sains yang dibina di atas paradigma liberalisme-positifisme-sekularisme sesuai dengan kurikulum sains Islam yang berteraskan wahyu.

                                                                                                      By: Dr. Mat Rofa Ismail, UPM

Sunday, August 29, 2010

Kisah Umar Al Khattab

Biodata
Nama sebenar  : Umar b Al-Khattab b Nufail b Abdul Uzza b Ribaah b Abdillah b Qarth b Razaah b 'Adi b Kaab
Nama Ibu          : Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum.
Gelaran             :  Al-Faruq
Keturunan         : Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh lahir        : 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan             : Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh Lantikan  : 634M
Tempoh Jawatan : 10 tahun
Tarikh M/Dunia  : 23H @ 644M
Umur                     : 63 tahun
Semasa sebelum memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah SAW apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah bte Umar. Beliau salah seorang yang dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW. .
 
Sifat Peribadi Umar al-Khattab

Ubaidullah bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Umar memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya : "Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini ?"   Jawab Umar al-Khattab : "Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya"
Kata Aslam beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka : "Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata dengannya". Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata : "Benarkah mereka berkata demikian ?" "Demi Allah, saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut Allah marah kepada saya. Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka ?"
Diriwayatkan oleh  Umar bin Murrah  bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan berkata : "Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !" Umar menjawab : "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? " Jawab lelaki itu : "Tidak" Kata Umar lagi : "Kalau begitu, biarlah Allah menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku"
Menurut Barrak bin Makrur : "Pada suatu hari Umar al-Khattab naik ke mimbar untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jamaah, ubatnya adalah madu lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah" Kata beliau : "Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi kalau tidak diizinkan haram ke atas saya mengambilnya"

Keislaman Saidina Umar
Beliau memeluk Islam pada tahun ke 6 kenabian ketika berumur 27 tahun. Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat Quraisy dan memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa Islam akan menjadi kuat.
Rasulullah SAW pernah berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam" Hadtih riwayat At-Thabarani
Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab"
Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar memeluk Islam, Jibrilpun datang dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar"
Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?"
Jawab Rasulullah SAW : "Benar"
Aku berkata lagi : "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"
Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua syaf, satu saya dan satu lagi Saidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang KAFFIR Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq ! 
Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan  di BaitulLah   khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

Keberanian Umar
Peristiwa  yang menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila Saidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah secara rahsia.

Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani  semasa kafir dan   bertambah berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan: Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaa'bah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Ka'abah menyaksikan kehadiran Umar.

Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan mendirikan solat.
Selesai solat, Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. kata Umar: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah."

Kata Umar lagi: "Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik bukit ini."

Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata.

Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajaknya adu senjata.

Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.

Berikutan dari peristiwa itu, maka kaum muslimin Makkah telah menyahut seruan hijrah. Sehingga tiada lagi para penyokong Nabi s.a.w. yang tinggal di Makkah, kecuali Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Ali bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit, mereka yang tidak kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka yang dikenakan tahanan oleh pihak  Quraisy, akibat tindakan mereka menyahut seruan Islam


Hadith tentang Umar

1. Semasa tidur, aku bermimpi bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat seorang perempuan sedang berwudhuk dekat sebuah istana. Aku bertanya untuk siapa istana ini. Katanya : Untuk Umar" Hadith riwayat Shiekhaini (Bukhari dan Muslim)
2. Sesungguhnya Allah menjadikan lidah dan hati Umar itu di atas kebenaran. Hadith riwayat At-Turmizi
3. Sekiranya selepas aku ada nabi, sudah pasti Umarlah orangnya. Hadith riwayat At-Turmizi
4. Sesungguhnya aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari Umar. Hadith riwayat At-Turmizi
5. Umar cahaya bagi penduduk Syurga.
6. Semua malaikat di langit menyayangi Umar dan semua syaitan di dunia melarikan diri dari Umar
7. Sesungguhnya ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi sebutan ramai (kerana kebaikannya), jika perkara ini terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umarlah orangnya. Hadith riwayat Bukhari.
8. Tidak ada sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan kemudian diperkatakan oleh Umar, nescaya turunlah al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Umar. (Kata-kata Abdullah bin Umar)

Umar Sebagai Orang Yang Pertama
1. Pertama digelar Amirul Mukminin
2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum arak
4. Pertama mengharamkan nikah mut'ah
5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
9. Pertama memperkenalkan Al-'Aul dalam masalah Faraid (harta pusaka)

Umar Dan Al-Quran
Saidina Umar Al-Khattab mempunyai pemikiran yang sangat hebat. Beberapa pendapatnya merupakan sebab turunnya al-Quran. Di antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sempena pendapat beliau ialah :
1) Kisah tawanan Badar  - ayat 28 Surah Al-Anfal
2) Ayat Menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat - Ayat 125  Surah Al-Baqarah
3) Ayat Hijab - Ayat 53  Surah Al-Ahzab
4) Ayat tentang asal-usul kejadian manusia - Ayat 12   Surah Al-Mukminun
>5) Ayat tentang arak  -    Ayat 219   Surah Al-Baqarah dan Ayat 43  Surah An-Nisa'
6) Ayat Larangan Mensolati Jenazah Orang Munafiq - Ayat 84   Surah At-Taubah
7) Kisah orang Munafiq - Ayat 6 Surah Al-Munafiqun
8) Ayat 5  Surah Al-Anfal
9) Ayat 16  Surah An-Nur
10) Ayat tentang penghalalan jima' di malam bulan Ramadhan - Ayat 187  Surah Al-Baqarah
11) Ayat 97  Surah Al-Baqarah
12) Ayat 65  Surah An-Nisa'
13) ayat 13 Surah Al-Waqiah

Saturday, August 28, 2010

assalamu'aleikummm!!!!!

test3...my blog...hohoh....

akhirnya......ado blog jgok aq nii...lama sudaa ku idam2kn....mlm ini terlaksana...huhu..

zass..!!